Jeramkini

Aman Makmur di Bawah Satu Naungan.

Guru Kafa Selangor Terbela di Bawah Pakatan Rakyat  

SHAH ALAM, 18 Nov (Hrkh) - Manifesto negeri berkebajikan yang dilaungkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat ketika kempen pilihan raya bukan untuk mengula-gulakan pengundi tetapi ia tetap dilaksanakan bagi menjamin kesejahteraan dan keselesaan rakyat di bawah kerajaan baru negeri Selangor.

Ini terbukti apabila lebih 4000 guru kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) akan menerima tambahan elaun dan skim insurans takaful bermula Januari 2009.

Penambahan elaun itu diumumkan oleh Menteri Besar, Tan Seri Abdul Khalid Ibrahim ketika merasmikan perjumpaan khas guru-kuru (Kafa) negeri Selangor di Stadium Melawati, Shah Alam, Isnin, 17 November lalu.

Dalam ucapan itu beliau berkata, kerajaan negeri bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan memberi tambahan elaun guru Kafa sebanyak RM261.70 daripada RM738.30 menjadi RM1,000.

Manakala Penyelia Kafa pula katanya elaun ditambah sebanyak RM338 daripada RM1112 menjadi RM1,500 dan skim insurans takaful bermula Januari 2009.

"Kita harap dengan pertambahan elaun ini dapat membangkitkan semangat bekerja yang tinggi di kalangan guru-guru Kafa. Kita percaya inilah benteng bagi membina jati diri murid-murid Islam ke arah melahirkan warga yang berakhlak mulia," tegasnya.

Ekoran pencapaian peperiksaan sekolah rendah agama (SRA) yang memberangsangkan beliau mencadangkan kerajaan negeri dapat menubuhkan segera sekolah agama teknik atau vokasional.

Ini kerana katanya, ramai pelajar lepasan sekolah rendah agama tidak menyambung pengajian ke peringkat sekolah agama menengah kerana kekurangan sekolah tersebut.

Menteri Besar bersama saf kepimpinannya mahu melihat sistem pendidikan Islam di Selangor mampu melahirkan insan kamil yang bukan sahaja boleh menguasai ilmeu bahkan berperibadian Muslim.

Beliau yakin pelajar yang hendak dibentuk itu mampu mewujudkan masyarakat madani yang tidak mengabaikan keperluan dunia tetapi sentiasa melebihkan keperluan akhirat.

Katanya, kerajaan Pakatan Rakyat bercita-cita menjadi selangor sebagai 'Hub Pendidikan' iaitu pusat pendidikan dalam negeri, negara seterusnya di peringkat antarabangsa.

"Saya ingin melihat sistem pendidikan Islam menjadi model dan saya yakin sistem pendidikan kita merupakan antara yang terbaik dan boleh dikongsi manakala peluang pendidikan boleh terbuka luas," tegasnya.

Katanya, guru merupakan profesion yang paling lama dalam sejarah peradaban manusia sebab itu Allah mengutuskan para Nabi dan Rasul untuk menjadi guru kepada manusia.

"Tanpa guru dunia pasti akan menjadi gelap hari ini warisan itu diteruskan oleh para ilmuan dan pendidik yang membawa mesej mendidik umat supaya berilmu," katanya.

Menurut beliau, peranan guru amat penting untuk mendidik pelajar bukan sahaja menjadi sumber modal insan malah menjadi sumber modal masyarakat dan budaya.

Bagaimanapun, tambah beliau, hasrat dan cita-cita tersebut tidak akan tercapai jika guru-guru tidak bersedia menjadi agen perubahan yang amat memahami aspirasi dan matlamat kerajaan.

Katanya, guru sebagai kakitangan kerajaan wajar menjadi agen kerajaan dalam usaha menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat khususnya para pelajar.

"Kita perlu komited pada penyampian perkhidmatan yang terbaik, mesra dan memenuhi kepuasan hati pelanggan disamping mematuhi pekeliling perkhidmatan awam yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, sistem pendidikan Islam di negeri Selangor sentiasa mendapat sokongan dan sambutan daripada masyarakat Islam oleh itu guru-guru yang tinggi sahsiah dan berwibawa diperlukan bagi menjayakan pengajaran dan pembelajaran.

Justeru katanya, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) perlu meneruskan latihan jangka pendek dan panjang kepada guru-guru supaya selari dengan usaha meningkatkan profesionalisme perguruan.

Beliau bimbang kerana sebahagian besar pelajar sekolah terlibat dengan pelbagai gejala negatif seperti gangsterisme, buli, ponteng sekolah dan lebih teruk apabila pelajar keliru untuk menggunakan nilai ilmu dengan realiti kehidupan.

Guru-guru perlu berusaha mendidik mereka dengan nilai agama dan budaya timur dan dalam masalah ini pendekatan dakwah perlu diutamakan di samping perkhidmatan kaunseling, tegasnya.

Sumber : www.harakahdaily.net

Subscribe Update Terkini Melalui Email
AddThis Social Bookmark Button

0 Komentar

Post a Comment