Jeramkini

Aman Makmur di Bawah Satu Naungan.

Selangor Kaji Cadangan Tubuh Sekolah Agama Vokasional  

SHAH ALAM, 17 November – Kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan menubuhkan sekolah agama vokasional di negeri ini pada masa depan.

Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri akan cuba mengatur perkara itu dengan mengadakan perbincangan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan majikan swasta.

“Saya rasa sudah tiba masanya kita menggabungkan konsep pengajian agama dan peningkatan kemahiran kerana saya dapati permintaan untuk mereka yang mempunyai keupayaan kemahiran adalah tinggi,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan khas dengan guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Negeri Selangor di Stadium Malawati pagi tadi.

Hadir sama, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Menurut Abdul Khalid peluang melanjutkan pelajaran di sekolah seumpama itu boleh digunakan ramai pelajar yang mungkin tidak berupaya atau tidak mahu meneruskan pengajian ilmiah mereka, sebaliknya memilih bidang kemahiran sebagai kerjaya.

Abdul Khalid berkata selain peruntukan daripada kerajaan negeri, beliau berharap kerajaan persekutuan akan turut sama menghulur dana bagi penubuhan sekolah berkenaan.

“Ini baik untuk negara dalam melahirkan lebih ramai pekerja muda yang berkemahiran tinggi,” katanya.

Beliau berharap blue print mengenai cadangan itu dapat disediakan dalam tempoh enam bulan.

Sementara itu ketika menjawab pertanyaan media berhubung kehadiran Dato’ Seri Anwar menyampaikan ucap tama pada majlis itu, Abdul Khalid berkata beliau yang menjemput bekas Menteri Pendidikan itu yang berpengalaman dalam mengasaskan beberapa usaha awal mendidik golongan belia. ­– NOOR ALLIA KASSIM

Sumber : Suara Selangor Maju

Subscribe Update Terkini Melalui Email
AddThis Social Bookmark Button

0 Komentar

Post a Comment