Jeramkini

Aman Makmur di Bawah Satu Naungan.

Wawancara Eksklusif YB Dr Dzulkefly Ahmad : Soalan Paling 'Nakal'?  

Pengarah MTD Jeram Hj. Razali Bin Tumirin sempat menemuramah bersama Ahli Parlimen Kuala Selangor, YB Dr. Dzulkefly Bin Ahmad pada 30 November, 2008 bertempat di Pejabat Ahli Parlimen Kuala Selangor. Banyak isu-isu menarik ditimbulkan terutamanya tentang Kuala Selangor. Agak melucukan bila YB Dr Dzul ditanya soalan 'paling nakal' oleh Hj Razali. Ikuti wawancara penuh bersama YB Dr Dzul

Soalan: Sudah hampir sembilan bulan YB sebagai wakil rakyat, nampaknya semakin hari semakin sibuk melayan kehendak dan karenah para pengundi. Barangkali amat meletihkan?

Jawapan YB: Sebagai “first timer” Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) yang dianggap ahli parlimen baru (‘junior’), setelah kita diberi mandat besar, ramai yang yang tidak boleh meramalkanpun, akan kemenangan ini dan saya sebagai Ahli Parlimen terpanggil dan merasa bertanggungjawab dan sebenarnya cukup perihatin dengan pengharapan rakyat atas dasar sokongan yang telah diberi. Apabila kita telah menang tanggungjawab itu, sebenarnya merentasi semua bangsa, budaya dan agama. Bahkan setelah selesai pilihanraya, soal warna tidak dibicarakan. Maka, sebagai wakil rakyat dianggap pengurus harapan rakyat (actual expectation). Tentunya, ianya amat ‘meletihkan’ kerana bergelumang 24 jam, ‘around the clock’ untuk memenuhi pengharapan mereka. Ada tiga fungsi yang saya boleh mainkan iaitu;

Pertamanya, selaku Ahli Parlimen Malaysia yang bertanggungjawab sebagai “Law Maker”, atau “Legislator” dan tentunya memerlukan persediaan untuk perbahasan dan penghujahan ketika berada di Parlimen. Dalam hal ini, saya beruntung kerana saya mempunyai pengalaman sebagai Pengarah Penyelidikan PAS Pusat dan saya boleh akses kepada pelbagai informasi.

Keduanya , kita perlu mengetahui rakyat di Kuala Selangor, pengundinya ramai yang menetap di pinggir bandar belum dapat membezakan peranan ahli parlimen dengan ADUN. Mereka anggap sama sahaja. Saya terpaksa “turun padang” berperanan seumpama seorang ADUN, berperanan sebagai pemantau tiga aspek; Sampah, Longkang dan Rumput (SLR). Bahkan kalau ada kematian, kemalangan, ribut, saya terpaksa tengok/jengok mereka, terutama yang duduk di kampung-kampung. Mungkin tidak di kawasan bandar. Mungkin saya telah dapat menjawab, apa yang dimaksudkan dengan perkataan “meletihkan” tetapi saya anggap sebagai satu kepuasan (‘satisfaction’), sebagai wakil rakyat untuk memenuhi tuntutan mereka.

Ketiganya, saya juga adalah seorang anggota parti dan masih sebagai seorang Pengarah Penyelidikan PAS Pusat dan sekretariat PR. Saya sifatkan bidang tugas saya bersifat ‘multi-tasking’ ini, amnya hendak digarap dalam satu masa, mungkin tepat sebagai “meletihkan” tetapi saya seronok menunaikannya.

Soalan: Apakah perkara-perkara yang sering diajukan oleh rakyat dan bagaimana cara/pendekatan yang sesuai untuk menyelesaikan permasalahan mereka?

Jawapan YB: Saya membahagikan segmen pengundi kepada dua kelompok, satunya, pendapatan rendah dan keduanya “middle to upper middle” dan profesional seperti mereka yang mendiami taman-taman seperti di Taman Saujana, Bandar Puncak Alam atau di Ijok. Kelompok golongan berpendapatan rendah boleh dilihat seperti nelayan yang tinggal seperti di Keramat, Kuala Selangor, Asam Jawa, Batu 20 Jeram, Sg. Sembilang, kelompok kedua petani dan ketiga pekerja-pekerja ladang. Mereka berada di kepompong kemiskinan. Mereka dianggap sasaran utama dalam memberi perkhidmatan dan keperihatian saya. Kehendak mereka terlalu “basic needs for survival”, seperti keperluan rumah, makan minum, pendidikan, menyelesaikan bil, contoh dua bulan tidak dibayar bil mereka akan menemui wakil rakyat. Contoh rumah bocor, saya terpaksa pergi menengok keadaan sebenar dan setibanya hujan lebat, saya nampak sendiri air jatuh mencurah-curah mengenai katil sampai basah. Mereka tertekan dengan kehidupan, seperti kenaikan harga barang dan pengangkutan anak-anak ke sekolah. Maka, saya terpaksa turun dengan pegawai-pegawai Pusat Zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menyelesaikan kesempitan kehidupan mereka. Jika ini berlaku, mereka seolah-olah tidak nampak bagaimana hendak memajukan anak-anak mereka dengan pendidikan sedangkan pendidikan yang akan mengeluarkan mereka daripada kemiskinan tegar.

Kelompok yang kedua berbeza sedikit kerana mereka melihat dari aspek kualiti kehidupan. Contohnya, apabila saya dijemput merasmikan persatuan-persatuan penduduk, mereka ada tujuan, supaya wakil rakyat perlu mendengar dan menyelesaikan kualiti penyampaian seperti tambahan sekolah, kemudahan-kemudahan rekreasi, permainan kanak-kanak dan keceriaan di sekitar taman mereka. Isu keselamatan juga menjadi agenda mereka. Mereka juga hendak sekolah tambahan untuk anak-anak mereka seperti yang berlaku di Saujana Utama dan Desa Coalfields. Ini semuanya berkait rapat dengan isu kualiti kehidupan dan status.

Pendekatan terpenting untuk kelompok orang-orang miskin, bukan hendak diselesaikan “day to day basic” tetapi mencari ruang menambah pendapatan.

Soalan: Mengenai orang Melayu, di kawasan YB, ada seramai hampir 61% pengundi,, bagaimana YB melihat kedudukan orang Melayu dalam memajukan ekonomi dan pendidikan anak-anak mereka?

Jawapan YB: Pendekatan saya sebenarnya, merentasi kaum dan budaya bahkan agama, namun saya ditanyakan soalan keMelayuan, maka saya cuba memberi jawapan begini;
Saya dapat melihat kepada Kaum Melayu/Islam yang terperangkap dalam garis kemiskinan, maka, sejak saya menjadi wakil rakyat, saya diberi peluang dan kesempatan untuk naik mimbar sebagai khatib pada hari Jumaat, dan menyampaikan tazkirah di masjid dan di surau-suarau. Mulai bulan Ramadan yang lalu, saya boleh merangsang atau menyuntik semangat dari tiga aspek iaitu perubahan pemikiran, terutama perubahan terhadap pendidikan, pegangan agama, moral dan menjadikan ibubapa/ketua isi rumah yang berpotensi membekalkan mutu kehidupan sebagai suatu jihad yang dituntut oleh agama. Mereka jangan mengambil mudah, sehingga anak-anak mereka masih berada seperti mereka. Saya menyuntik mereka dengan motivasi berterusan dan saya serius agar mereka dapat dikeluarkan daripada kemiskinan tegar. Sebab itu saya saya selalu sarankan mereka agar pentingkan pelajaran/pendidikan. Mereka tidak pernah menghayati perkara ini.

Kita juga memberi maklumat kepada mereka bahawa kerajaan PR ingin membantu mereka dan kita ada agensi-agensi kerajaan yang boleh menyalurkan bantuan dan berusaha menolong mereka, menerusi Pusat Zakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Luar Bandar dan Pejabat Daerah. Terkini, kerajaan Selangor ada melancarkan projek “Laman Dapur” dan Kuala Selangor dijadikan program “anak angkat” untuk membolehkan mereka bercucuk tanam di sekitar rumah dan selepas itu ada orang datang membeli hasil tanaman mereka. Bahkan dengan penubuhan Pertubuhan Kebajikan Amal Wanita Selangor (PERKAWANIS) yang dipengerusi oleh isteri YAB Menteri Besar dilihat positif dalam menggalakkan kaum wanita untuk berkecimpung dalam mempromosikan menanam apa sahaja di pinggir-pinggir rumah. Jika mereka boleh mengusahakan tanaman dan hasilnya boleh dijual, tentunya mereka mempunyai pendapatan tambahan.

Program-program remaja turut kita laksanakan bersama-sama kerajaan negeri dan Yayasan Selangor. Kita memberi latihan belia dari aspek akademik, keusahawan, kemahiran dan kerjaya. Kami akan cuba dapatkan profil mereka terlebih dahulu. Mereka yang tamat belajar atau selepas SPM yang rata-rata dianggap menganggur ini, setelah mereka menyempurnakan latihan, kita akan berusaha membantu mereka mencari pekerjaan.

Soalan: Secara khusus apakah bentuk bantuan pada mereka yang tinggal di ladang-ladang?

Jawapan YB: Mereka yang tinggal di ladang-ladang ini, hanya pentingkan “survival”. Saya difahamkan beratus mereka yang tinggal tanpa seorang bapa atau suami. Contohnya, apabila suami meninggal dunia, keluarga mereka masih tinggal di ladang-ladang dengan menagih simpati dan ikhsan daripada orang ramai. Kita berusaha untuk membina rumah untuk mereka yang mampu (“affordable” ) dibayar dengan kemudahan-kemudahan asas yang sesuai. Perkara ini saya sudah ajukan “proposal” kepada YB Iskandar Abdul Samad,aEXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan Selangor. Kerajaan ada peruntukan sejumlah RM1.4 bilion dan kita perlu memperolehi tanah yang sesuai sama ada kepunyaan syarikat ladang dengan tawaran harga yang rendah daripada harga pasaran atau tanah-tanah kerajaan negeri untuk dijadikan tapak perumahan yang sesuai dan berdekatan dengan kediaman mereka. Kita ingin melihat di Kuala Selangor ini, kita ada projek yang nampak berkesan yang boleh memindahkan mereka ke satu kawasan perumahan yang tersusun dsan sistematik. Saya ingin melihat projek ini benar-benar berjaya. Salah satunya dirancang ialah di Ijok.

Jika kita mampu melaksanakan projek seumpama ini, walaupun kita hanya berkesempatan memerintah baru dua ke tiga tahun, namun kita telah berupaya menunjukkan kepada rakyat betapa kita telah berupaya menyelesaikan masalah mereka dan tentunya mereka berasa berbaloi menyokong kita.

Kita bukan rakus mengambil tanah untuk kepentingan peribadi seperti yang dibuat oleh YB-YB BN dan sebenarnya saya ada angka/data dan statistik betapa mereka mengambil tanah untuk menjadi hak mereka. Saya rasa tidak perlu saya dedahkan perkara ini pada umum.

Soalan: Saya cuba fokuskan perbincangan ini dengan Jeram. Kita melihat orang Melayu masih rendah kesedaran mereka mengenai politik. Saya cuba kaitkan dengan kekalahan calon PAS di DUN Jeram di dalam PRU 12. Orang Melayu meliputi 73.01% daripada sejumlah 18,839 pengundi yang berdaftar. Bagaimana untuk menyedarkan mereka mengenai kepentingan politik dan mencari jalan dan strategi yang berkesan untuk mencapai kemenangan di DUN Jeram pada pilihanraya-pilhanraya akan datang?

Jawapan YB: Saya cukup yakin kepada demokrasi sebagai suatu proses pentadbiran, peralihan kepimpinan dan proses membentuk kerajaan yang terbaik dengan andaiannya pengundi celik maklumat dan mempunyai pengetahuan. Demokrasi boleh berperanan apabila rakyat boleh memperolehi maklumat. Demokrasi yang “fundamental” ialah bermaksud rakyat boleh membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tepat. Pengundi memerlukan pencarian maklumat dengan bebas tanpa kekangan media, ditakut-takutkan dan yang paling penting pengundi jangan merasakan selesa dengan apa yang ada dan tidak buat kesah atau beranggapan siapa yang memerintah, sama sahaja. Kalu begini, demokrasi itu dianggap mati dan tidak dinamik. Kita perlu menyedarkan politik rakyat dengan cara memberi informasi dan bercakap mengenai orang Melayu, mereka bukan orang yang suka membaca apatah tulisan yang panjang berjela-jela, tetapi mereka suka menonton dan mendengar (pasang telinga). Kita mesti bersedia dengan suatu media yang mengizinkan mereka menonton dan mendengar dengan suatu pendekatan yang paling kreatif dan tidak meletakkan mereka membosankan dan dihukum. Pendekatan ke hadapan kita mesti membawa atau mengajak orang menonton. Kita perlu menyediakan penerangan dalam bentuk CD dan cuba “menjual atau memasarkan calon” tersebut. Dalam pilihanraya lepas anak-anak dan isteri saya menyediakan CD mengenai diri saya yang diolah begitu kreatif dengan muzik, lagu-lagu, berlatar-belakang sesuatu, seperti semasa saya belajar di U.K. dahulu ada tercatat cerita-cerita saya di sana. Kita mesti menyediakan bahan-bahan yang menarik untuk dipertontonkan. Cuba anda lihat web site saya untuk penjelasan lanjut, http://drdzul.wordpress.com

Secara kesimpulan, media yang penting ialah media yang boleh ditonton dan didengar. Kita perlu perbanyakkan CD dan edarkan, umpamanya dihantar ke rumah-rumah setiap tiga bulan sekali. Kita perlu menyediakan platform ceramah terbuka yang sudah sebati dengan program kita. Penceramah-penceramah hebat boleh dipanggil untuk menerang untuk mencari undi dan bukannya menyerang atau menghentam mereka sehingga mereka lari dan tidak memperolehi undi mereka. Penceramah sekarang mesti bijak. Kita perlu melahirkan penceramah-penceramah yang bijak berpidato di samping mahir berinteraksi dengan orang ramai dan bukannya syok sendiri. Ibarat kata, “ kalau anda ingin madu lebah, janganlah anda sepak sarangnya”. Maka, “cara kita bercakap mestilah dikawal, kerana itulah sahaja cara berkesan akan dapat mengubahnya”.

Soalan: Di DUN Jeram ini, apakah aspek agenda pembangunan yang sesuai untuk menarik hati pengundi menyokong kita?

Jawapan YB:
Di DUN Jeram ini masih di bawah UMNO/BN, Datuk Amiruddin Setro, maka mustahak dana-dana pembangunan yang hendak diturunkan juga mengambilkira Jeram. Kita tidak perlu melihat suatu yang agak luar biasa, atau “exceptional”. Apa yang penting fokuskan kehendak rakyat terlebih dahulu, contohnya golongan profesional yang tinggal di Saujana Utama mereka mahukan kehidupan yang berkualiti dan kualiti pendidikan anak-anak. Maka, kita perlu perjuangan tuntutan semasa mereka. Saya difahamkan di Saujana utama, bilik darjah sudah sesak dan tidak dapat menampung penambahan kemasukan pelajar-pelajar baru. Ini bermakna, isu sekolah dan keselamatan dan kemudahan-kemudahan di taman mereka mesti diselesaikan. Ini suatu yang wajar, mesti dan wakil rakyat terpanggil untuk memperjuangkan perkara ini. Kerajaan Pusat telah menjanjikan pembinaan sekolah tambahan sejak Rancangan Malaysia (RM) ke7, tetapi masih gagal dibangunkan sehinggalah RM8 dan baru-baru ini di persidangan Parlimen, saya bangkitkan perkara ini semula kepada Kementerian Kerja Raya dan mohon agar dalam RM9 ini, projek tersebut dapat dilaksanakan.

Untuk golongan yang miskin, terutama nelayan, saya sendiri menemui pegawai jabatan perikanan, berdialog dengan Persatuan Nelayan dan didapati mereka yang tidak menjadi ahli persatuan tidak dibantu. Saya memohon mereka patut dibantu. Saya turut meminta pegawai di jabatan perikanan agar memberikan projek ternakan seperti kerang kepada mereka. Saya turut rasa dukacita kerana, mereka hanya melayan permintaan kaum pemodal, sehingga akhirnya, hutan paya bakau kita tercemar, sedangkan hutan tersebut boleh membiakkan kehidupan laut.

Soalan: Untuk mencapai kemenangan di Jeram, kriteria calon bagaimanakah yang paling sesuai dan layak untuk di ketengahkan dalam PRU 13? Kita dapati, kita tewas banyak di kampung-kampung tradisional.

Jawapan YB: Setelah saya menjadi Ahli Parlimen , saya dapati di DUN Jeram amat unik seperti kedudukan di Perlis, Terengganu kerana dalam lingkungan “Malay belt”. Tsunami politik tidak berlaku di kawasan “Malay belt”. Kita perlu berhati-hati agar semua YB dalam PR tidak melakukan kesalahan-kesalahan yang kita boleh dihukum dan tewas di dalam pilihanraya akan datang. Kita perlu berhati-hati agar tidak mengguriskan hati mana-mana kaum. Walau bagaimanapun, orang PAS dan PKR yang beragama Islam mesti menggembelingkan tenaga dan fikiran untuk menawan hati pengundi Melayu dari aspek kedudukan dan kepentingan orang Melayu, agama, bahasa Melayu, simbol kekuatan orang Melayu iaitu Raja dan Kesultanan. Pada masa yang sama kita tidak boleh menafikan kehendak dan kepentingan orang bukan Melayu. Maka, teramat penting bagaimana kita hendak mengungkapkan satu manifesto dan agenda pembangunan semua rakyat di negara ini.

Seorang calon itu mestilah orang yang bijak, matang berfikir, menampilkan kewibawaan dan menganalisa dan menangani mengenai isu-isu termasuk semua kaum. Kriteria yang dikehendaki adalah jika boleh anak tempatan, anak kampung yang mudah, mesra dan senang bergaul, ramah, dengan sesiapa sahaja, ada jalinan kaum kerabat yang besar, dikenali, berpelajaran atau berpendidikan tinggi, professional, tidak perlu sangat berlatar belakang agama, di samping boleh berucap dan berhujah dan membujuk orang ramai.dan ada sedikit ketokohan.

Soalan: Sudikah YB terlibat dengan PAS kawasan Kuala Selangor untuk sama-sama menjadi pimpinan tertinggi kawasan bagi tujuan memajukan PAS di kawasan ini.

Jawapan YB: Saya rasa soalan ini, soalan paling “nakal” dan cuba merangkap saya. Saya ingin katakan dan tegaskan bahawa saya sebenarnya apabila datang dan bertanding di Kuala Selangor dengan saya tidak mengenali Kuala Selangor bahkan Kuala Selangor tidak mengenali saya dan apabila saya menang dengan izin Allah swt dengan bantuan sahabat-sahabat, di peringkat awal saya turun di Kuala Selangor, saya tidak pernah ada niat, berhajat untuk memimpin kawasan atas alasan, pertamanya, saya cukup terbeban dengan jawatan sebagai Pengarah Penyelidikan PAS Pusat bahkan setelah saya bergelar YB, banyak masa dan tenaga tertumpu kepada tugas-tugas sebagai wakil rakyat dan tugas Parti agak sedikit terjejas. Saya mungkin berkemampuan untuk memimpin, namun keupayaan tenaga saya tidak bersedia untuk berbuat demikian. Komitmen saya juga amat tinggi sebagai sekretariat PR dan ditambah dengan AJK Lajnah Politik Pas Pusat. Saya tidak bersedia berbuat demikian.

Soalan: Apakah kegemaran YB masa lapang?

Jawapan YB: Sejak kebelakangan ini, saya rasa tidak cukup tidur, terutama untuk menyelesaikan masalah rakyat dan persidangan Parlimen. Saya juga dinasihatkan oleh doktor supaya berehat sedikit. Apabila saya ada masa rehat, saya penuhi masa saya dengan membaca. Membaca sudah menjadi kemestian untuk mendapat maklumat dan digunakan untuk berhujah. Saya sememangnya minat membaca dan dalam keadaan membaca itulah membuatkan saya mudah tertidur.

Subscribe Update Terkini Melalui Email
AddThis Social Bookmark Button

0 Komentar

Post a Comment