Jeramkini

Aman Makmur di Bawah Satu Naungan.

Karnival Mesra Rakyat PBT 29-30 November 2008  

SHAH ALAM, 20 November – Program Karnival Mesra Rakyat Bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan negeri Selangor bakal berlangsung selama dua hari di Stadium Malawati di sini, mulai 29 November ini.

Program anjuran kerajaan negeri yang julung-julung kali diadakan itu akan disertai 12 PBT, agensi kerajaan dan anak syarikat kerajaan negeri.

Orang ramai boleh mengunjungi karnival yang bermula pukul 11.00 pagi hingga 11.00 malam pada 29 November sementara keesokan harinya, acara bermula pada pukul 11.00 pagi hingga 5.00 petang.

Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan media berkata orang ramai berpeluang berinteraksi bersama kakitangan PBT, mendapatkan maklumat, mengemukakan aduan dan pertanyaan serta mendapatkan khidmat kaunseling ataupun perbincangan secara terus dengan jabatan atau agensi yang berkaitan.

Selain ruang pameran dan jualan pelbagai produk, pengunjung juga disajikan dengan persembahan daripada artis ternama yang bernaung di bawah PBT.

“Maklumat berhubung Dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor seperti Skim Mesra Usia Emas, Hadiah Anak Masuk Universiti dan Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) boleh diperolehi di karnival ini, “ kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga berbesar hati untuk menyediakan pelbagai juadah menarik untuk makan tengah hari dan makan malam semasa karnival berlangsung.

Kerajaan negeri berharap acara ini akan menjadi satu acara rasmi dalam kalendar kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat.

“Pendekatan ini merupakan salah satu usaha pihak kerajaan negeri melalui penglibatan jabatan dan agensi kerajaan turun padang untuk menyebarkan maklumat terkini serta membantu orang ramai dalam menyelesaikan masalah,” katanya lagi.

Program itu juga dilihat sebagai satu peluang kerajaan negeri meneruskan kesinambungan polisi Merakyatkan Ekonomi Selangor seiring dengan perjuangan kerajaan yang mementingkan negeri berkebajikan.

Dipetik : www.suaraselangormaju.com.my

Subscribe Update Terkini Melalui Email
AddThis Social Bookmark Button

0 Komentar

Post a Comment