Jeramkini

Aman Makmur di Bawah Satu Naungan.

Sekitar Ceramah Umum di Saujana Utama  

YB Khalid Samad menyampaikan ceramah.
Lagi gambar di sini.

12 November 2008 : Selepas kejayaan besar menganjurkan ceramah umum bersama Dato' Seri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat beberapa ketika dahulu, PAS Saujana Utama sekali lagi berjaya meneruskan kesinambungan dengan menganjurkan ceramah umum di Bandar Saujana Utama, Sungai Buloh. Antara penceramah yang hadir ialah:

1. Haji Razali Tumirin, Pengarah MTD Jeram
2. Ustaz Riduan Md Nor, Exco Pemuda PAS Pusat
3. YB Ir Khalid Abd Samad, Ahli Parlimen Shah Alam
4. YB Dr. DZulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor


Ceramah dipengerusikan oleh Cikgu Hj. Azhar Bin Harun

1. Ucapan Aluan oleh Pengarah MTD Jeram dengan memfokuskan perbincangan dan penganalisaan mengenai

Proses perjalanan pilihanraya di Malaysia dan peranan rakyat di dalam sebuah Negara demokrasi yang seharusnya bebas dan berani memilih dan menentukan pemimpin yang diimpikan. Rakyat mesti mengetahui hak dan tanggungjawab mereka tanpa desakan, sogokan dan diarah atau dipaksa menentukan pemimpin yang diharapkan boleh memperjuangkan hak mereka.

Rakyat seharusnya matang menganalisa dasar dan rancangan sesebuah parti politik sebelum membuat pilihan yang tepat dan keputusan yang bijak tanpa dipengaruhi bahkan ditekan oleh mana-mana pihak

Rakyat mestilah mempunyai kesedaran politik yang tinggi. Kesedaran politik hanya boleh dilahirkan melalui beberapa cara, di antaranya pendedahan mengenai ilmu politik dan kemasyarakatan di peringkat awal remaja atau dibangku sekolah. Sistem pendidikan seharusnya mendidik semua rakyat ke arah hidup berorganisasi dan berpersatuan.

Beliau turut menceritakan kemajuan dan perkembangan berpolitik di Negara Maju seperti di Amerika Syarikat, didapati rakyat bebas memperolehi maklumat seperti dasar parti dan akhirnya mereka dapat memilih secara bebas siapa pemimpin yang sesuai untuk membangunkan negara

2. Ustaz Riduan Md Nor, Exco Pemuda PAS Pusat

Beliau memfokuskan perbincangan mengenai kedudukan dan pola pengundian di kawasan bandar dan kawasan pinggir bandar dan sikap pengundi yang memilih calon-calon Pakatan Rakyat (PR) di dalam PRU 12, tanpa diracuni oleh dasar perkauman sempit dan agama.

Di antaranya, beliau memperjelaskan betapa taraf hidup dan tahap pendidikan turut/boleh mempengaruhi seseorang untuk mengundi calon-calon pembangkang dengan penuh keberanian.

Beliau masih sangsi bagaimana mentaliti penduduk kampung yang masih dibelenggu dengan fahaman sempit berpolitik yang dirancang oleh UMNO. Saranan beliau ialah adalah wajar penduduk yang tinggal di kampung-kampung/orang Melayu didekatkan mereka dengan ilmu agama dan peranan agama di dalam menyelesaikan permasalahan kehidupan mereka. Peranan Puasat Khidmat Masyarakat (PKM) hendaklah digemblengkan.



3. YB Ir Khalid Abd Samad, Ahli Parlimen Shah Alam

Beliau menceritakan strategi UMNO untuk menarik perhatian para pengundi/rakyat untuk menyokong mereka kembali dengan meniupkan isu perkauman, khususnya sensitiviti orang Melayu/Islam. UMNO cuba memperlagakan orang Melayu dengan isu-siu keMelayuan yang diharapkan dapat meniupkan rasa kebencian terhadap kerajaan PR dan beralih sokongan terhadap UMNO/BN semula. Beliau memberi beberapa contoh kes, di antaranya, kes pelantikan Pengurus Besar PKNS.

Menurut beliau, UMNO akan sentiasa mencari isu-isu dari semasa ke semasa dengan menonjolkan merekalah sahaja pejuang bangsa dan agama dengan menggunakan media massa, cetak dan elektronik, terutama TV untuk menghentam dasar/polisi kerajaan PR yang dianggap tidak menguntungkan orang Melayu/Islam. Mereka akan mencipta apa-apa pembohongan atau menghuraikan secara negatif atau tidak bertanggungjawab terhadap rancangan/usahakan yang dijalankan oleh kerajaan PR

4. YB Dr. DZulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor

Beliau berusaha untuk mengingatkan terutama ahli-ahli PAS, jangan terperangkap dengan desakan yang menunjukkan ketidak-matangan/kedangkalan kita berpolitik. Mungkin ada di antara ahli yang mendesak agar pimpinan PAS dapat melaksanakan, umpamanya, undang-undang hudud di negeri Kedah dengan kadar segera. Ini seolah-olah menunjukkan Islam itu hudud sahaja yang terpenting untuk dilaksanakan.

Beliau cuba menarik perhatian semua yang hadir dengan memperihalkan skop ajaran Islam yang terdiri daripada beberapa komponan asas, seperti aqidah, syariah dan akhlak dan beliau sendiri memetik beberapa ayat Al-Quran dan hadith Rasullullah s.a.w. yang membuktikan ajaran Islam perlu dilaksanakan secara hikmah/bijaksana. Umpamanya, beliau menghuraikan misi Rasullullah dilahirkan ke atas dunia ini ialah untuk memperbaiki akhlak manusia.

Beliau turut berusaha untuk meyakinkan pemimpin PR terutama DAP terhadap peranan Islam di dalam menyelesaikan masalah rakyat/manusia dan Negara. Beliau adalah salah seorang pemimpin PAS yang diamanahkan untuk membentangkan idea PAS di dalam menyelesaikan permasalahan umat. Salah satu usaha beliau ialah membentangkan idea PAS mengenai bajet yang berprinsipkan keadilan dan bermanfaat bagi kemashalahatan umat dan akhirnya turut diterima oleh pimpinan DAP secara terbuka dan penuh kagum.

PAS sepatutnya mengambil inisiatif dan pendekatan informasi dan dakwah di dalam PR sekarang, agar peranan PAS dapat dihormati oleh teman-teman di PR dan menjadikan parti ini dapat berfungsi dan berperanan lebih luas. Kita mesti mendapat kepercayaan tulen daripada mereka agar segala rancangan kita berhasil.

Beliau menyarankan agar ahli-ahli Pas sendiri mesti mempelajari ilmu dan istilah-istilah al-Quran/ Arab/yang bersifat ilmiah agar memudahkan kita berhujah dengan sesiapa sahaja.

Laporan oleh: Hj Razali Tumirin, Pengarah MTD DUN Jeram.
Foto oleh : Unit Fotografi, PAS Saujana Utama.
.

Subscribe Update Terkini Melalui Email
AddThis Social Bookmark Button

0 Komentar

Post a Comment