Jeramkini

Aman Makmur di Bawah Satu Naungan.

Masalah Bau Busuk di Kuala Selangor Dijangka Selesai  

Masalah Bau Busuk Dari Ladang Ayam : Tapak Baru Dikenalpasti

KUALA SELANGOR, 4 November – Kerajaan negeri sudah mengenal pasti tapak sesuai untuk memindahkan tapak Ladang Lay Hong dekat sini, yang operasinya dikaitkan dengan bau busuk seperti diadu penduduk sekitar.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata ladang yang menempatkan kilang ternakan ayam, telur dan pemprosesan baja itu sepatutnya sudah dipindahkan.

“Ia sepatutnya sudah dipindah ke Jeram tetapi sampai sekarang belum dibuat di peringkat pejabat tanah.

“Tugas saya adalah untuk menyemak semula dan menentukan bila ia boleh dipindahkan,” katanya selepas melawat operasi ladang berkenaan bersama Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad.

Elizabeth, Dzulkefly dan beberapa pegawai Jabatan Alam Sekitar Selangor meluangkan masa kira-kira sejam melakukan lawatan sambil diberi penerangan oleh pengurus Evergreen Organic Fertilisers Sdn Bhd, SF Siow.

Elizabeth berkata keputusan memindahkan tapak berkenaan dibuat semasa pilihan raya kecil Ijok April tahun lalu tetapi tiada tindakan seterusnya diambil.

Justeru katanya, isu itu akan dibawa dalam mesyuarat Exco untuk menyemak status tanah dan keputusan Exco yang dibuat sebelum ini.

Elizabeth menambah, antara syarat yang dikenakan kepada pengusaha ladang berkenaan ialah menggunakan enzim yang efektif, menukar kanvas yang mengelilingi kawasan pemprosesan baja dan memasang kipas yang bersesuaian bagi mengurangkan bau busuk yang dideritai penduduk di Saujana Utama, Desa Coalfields, Puncak Alam dan Kompleks Penjara Sungai Buloh.

Sementara itu bagi penduduk, Mohd Nazri Mohd Hussain, 32, masalah bau busuk itu sudah berlarutan sejak enam tahun lalu.

Tambahnya, situasi itu menyebabkan penduduk kurang selesa dan bimbang akan kesihatan mereka.

Mohd Nazri berkata anak beliau juga sering mengadu sakit kepala dan menyukarkannya untuk mengulangkaji pelajaran.

Beliau berharap ladang itu ditutup kerana kedudukannya berdekatan dengan rumah penduduk.

“Tempat ini perlu ditutup terus kerana ia melibatkan kepentingan awam dan mengugat kesihatan penduduk,” katanya yang telah membuat laporan polis.

Siow ketika mengulas masalah yang dihadapi penduduk berkata pihaknya akan berusaha sedaya upaya untuk mengatasi masalah bau busuk itu.

Katanya, bau busuk itu telah berjaya dikurangkan berbanding sebelum ini.

“Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar untuk mengenalpasti punca bau ini seperti yang didakwa penduduk,” katanya.

Siow menambah pihak pengurusan juga bersedia untuk berpindah ke tapak baru sekiranya lokasi itu sesuai kerana tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak.

Ladang yang dibuka sejak 20 tahun lalu itu mampu menghasilkan 50 tan baja setiap hari melalui kilang pemprosesan baja yang beroperasi pada penghujung tahun 1994. – NOOR ALLIA KASSIM

Dipetik : Laman Web Kerajaan Negeri Selangor.

Subscribe Update Terkini Melalui Email
AddThis Social Bookmark Button

0 Komentar

Post a Comment